Iklan Free

Wednesday, July 10, 2013

Masalah timbul apabila suami atau isteri pilih untuk menikahi pasangan yang dahulunya adalah suami atau isteri orang

Suami bermain kayu tiga, kini isteri pula mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Kisah suami bermain kayu tiga memang lumrah. Namun kini keadaan berubah kerana apabila isteri mendapat tahu suami curang, mereka pula menjalin hubungan dengan lelaki lain.

Demikian menurut Pengarah Eksekutif Pusat Kaunseling Jamiyah, Haji Mohamed Mustafa Marican, sambil berkata: 'Dulu hanya suami mempunyai hubungan dengan wanita lain, kini keadaannya berbeza. Apabila isteri mendapat tahu tentang kecurangan suaminya, dia juga memilih untuk menjalin hubungan dengan lelaki lain.

'Apa yang memeningkan kepala ialah masing-masing telah pun beristeri dan bersuami.

'Jika masalah berakhir dengan perceraian, secara tidak langsung hidup dua keluarga hancur. Daripada kehancuran ini, mereka bina rumah tangga baru dengan harapan segala masalah dapat diatasi.

'Sebaliknya ini adalah permulaan masalah baru kerana bekas suami terpaksa menanggung nafkah anak-anak yang tinggal bersama bekas isteri. Ini ditambah pula isteri barunya pula 'membawa bersama' anak- anaknya setelah mendapat hak menjaga anak apabila bercerai dengan bekas suaminya,' katanya.

Oleh kerana banyak 'bekas' iaitu suami dan isteri, tanpa disedari masalah mereka berganda, contohnya seperti berikut:

Mat bernikah dengan Ima, bagaimanapun sebelum bernikah pasangan ini pernah mempunyai isteri dan suami.

Mat ada dua anak dengan bekas isterinya, Ima pula mempunyai tiga anak dengan bekas suami pertamanya.

Apabila bercerai, bekas suami masing- masing terpaksa membayar nafkah anak-anak mereka.

Ima membawa anaknya apabila bernikah dengan Mat, secara tidak langsung mereka mempunyai lima anak (anak sendiri dan tiri). Jumlah itu belum termasuk anak hasil perkahwinan mereka.

Menurut Haji Mohamed Mustafa, trend suami isteri curang ini kian meningkat di kalangan yang berumur dalam lingkungan akhir 20-an dan 40-an. Masalah ini timbul setelah mereka mendirikan rumah tangga selama lima atau enam tahun - pasangan suami isteri mula mencari pasangan baru.

Yang menyedihkan ialah apabila suami mempunyai hubungan dengan isteri orang dan si isteri pula mempunyai hubungan dengan suami orang.

Akibatnya rumah tangga Mat hancur (apabila bercerai dengan isterinya), satu lagi rumah tangga lain berkecai (iaitu Ima) semata-mata untuk mereka membina sebuah rumah tangga baru.

'Masalah timbul apabila mereka mendirikan rumah tangga dan memperolehi 'keluarga segera',' kata Haji Mohamed Mustafa.

Menurutnya lagi, terdapat juga suami yang berlaku curang tidak mahu menerima kenyataan apabila isterinya juga melakukan perbuatan curang.

Haji Mohamed Mustafa berkata ada suami hanya menganggap kaum lelaki saja boleh berlaku curang, sedangkan mereka tidak sedar bahawa trend zaman sekarang wanita lebih berani bukan saja dalam pekerjaan atau tutur kata, malah tidak takut untuk mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

'Kami menasihatkan setiap pasangan bermasalah agar memikirkan semula tindakan mereka. Sesetengahnya dapat menerima dan berbaik semula, namun ada juga suami yang sanggup bertindak 'gantung tak bertali' terhadap isterinya.

'Bagi mereka, hanya suami saja boleh curang terhadap isteri tetapi isteri tidak dibenarkan berbuat demikian.

'Apa yang pelik, mereka tahu bahawa Islam membolehkan mereka beristeri dua, namun apabila menyentuh soal tanggungjawab terhadap isteri, ramai suami mengabaikannya ditambah pula dengan pendapatan mereka tidak mencukupi,' kata Haji Mohamed Mustafa.

Selain curang, masalah lain ialah soal kewangan kerana ada antara suami yang tidak memberi nafkah mencukupi untuk keluarga.

'Mereka hanya memberi $200 atau $300 sebulan kepada isteri. Wang itu pula perlu digunakan untuk perbelanjaan makanan, bayaran bil dan sewa rumah.

'Ada sesetengah isteri terpaksa mengeluarkan wang gaji mereka sendiri jika nafkah yang diberi tidak mencukupi,' katanya.

Menurut Ustaz Pasuni, suami yang tidak bertanggungjawab itu memberi alasan sebelum mendirikan rumah tangga, dia hanya memberi ibunya $200 sebulan yang menurutnya duit itu cukup untuk perbelanjaan makan minumnya, malah dia ada lebihan membawa bekalan makanan ke tempat kerja.

'Suami seperti ini lupa bahawa tanggungjawabnya terhadap isteri dan anak- anak. Ini kerana ketika bujang, dia sudah biasa dengan gajinya $1,000 sebulan, dia hanya memberi ibunya $200, manakala selebihnya untuk kegunaannya sendiri.

'Setelah mendirikan rumah tangga, lelaki ini tidak berubah. Apabila menjadi suami, dia tetap memberikan nafkah isteri $200 sebulah dengan alasan jumlah yang sama yang diberikan kepada ibunya mencukupi. Malah dia mengharapkan jumlah itu juga mencukupi buat isterinya.

'Suami ini sebenarnya lupa bahawa tanggungjawabnya ialah menyediakan tempat tinggal, bayar pelbagai bil, perbelanjaan dapur, pakaian isteri dan anak-anak.'

Beliau menambah bahawa hasil daripada kaunseling yang diberikan kepada suami isteri yang bermasalah, pihaknya dapat mengatasi kira-kira 40 hingga 45 peratus kes yang dirujukkan.

Oleh
Zawiyah Salleh

0 comments:

Post a Comment

Keladi Air Followers

Keladi Air Members